Kebakaran hutan itu dilaporkan mula berlaku sejak awal Jun lepas.

Kebakaran hutan di Pulau Sumatera bukanlah perkara baharu dan hampir setiap tahun berlaku sebelum ini sehingga menyebabkan pelbagai masalah termasuk jerebu yang turut menjejaskan negara lain seperti Malaysia dan Singapura.

Menurut laporan agensi berita Antara, pihak berkuasa Indonesia kini bertungkus lumus memadamkan kebakaran di provinsi Riau termasuk  menggunakan 11 helikopter pengebom air.

Ketua Pelaksana Badan Penanggulangan Bencana Riau, Edwar Sanger berkata operasi memadam kebakaran menggunakan helikopter itu tertumpu di kawasan hutan di Dumai, Rokan Hulu, Pelalawan dan Siak.

Sementara itu, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG) dalam satu kenyataan menyatakan bahawa sejak awal tahun ini, lebih 600 hektar hutan di Pulau Sumatera telah terbakar.

BMKG turut berharap kebakaran hutan yang masih berlaku di provinsi Riau akan terpadam sepenuhnya apabila hujan lebat diramalkan akhir bulan ini. - Bernama