Rasuah mudah menghinggapi mereka yang bekerja dengan kerajaan terutama dalam bidang berkaitan undang-undang dan memberi kelulusan. Isu rasuah yang membelenggu penguat kuasa turut difilemkan tahun lalu, namun tidak mendapat sambutan tetapi menang besar pada acara Festival Filem Malaysia ke-30 baru-baru ini.

Istilah lain yang turut digunakan untuk menggantikan rasuah ialah makan suap. Lebih banyak nilai suapan, lebih senang kerja. Begitulah resamnya.

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan penahanan 58 pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhubung isu rasuah. Mereka disyaki telah melindungi pemandu-pemandu lori kebal yang me­lakukan kesalahan khususnya membawa lebih muatan di sekitar Pulau Pinang.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melakukan siasatan lanjut menahan lagi seramai 21 individu termasuk 19 pegawai JPJ berkaitan kes tersebut. Tangkapan terbaharu itu menjadikan mereka yang diberkas setakat ini meningkat kepada 79 orang.

Mengikut kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, amalan makan suap dalam kalangan pegawai penguat kuasa JPJ telah diketahui lama namun tidak ada bukti yang kukuh untuk membuat tangkapan dan pertuduhan.

Beliau juga memberi jaminan akan memberi kerjasama penuh terhadap siasatan yang dikendalikan SPRM berhubung penahanan pegawai JPJ terbabit.

Syabas diucapkan kepada pegawai penyiasat SPRM yang berjaya membongkar tembelang tersebut. Membenarkan lori menggunakan jalan raya dalam keadaan yang tidak baik boleh membahayakan nyawa pengguna lain.

Tindakan itu tidak sepatutnya berlaku dan pegawai penguat kuasa terlibat sepatutnya memikirkan jangka masa panjang perbuatan tersebut. Berapa ramai isteri, suami, anak dan ibu bapa yang kehilangan orang tersayang akibat kemalangan melibatkan lori.

Mungkin lori yang terlibat itu merupakan kende­raan yang dibenarkan beroperasi hasil daripada makan suap yang mereka peroleh setiap bulan atau minggu.

Bagaimanapun, hebahan sebelah pihak pada saya agak tidak adil. Sepatutnya, pihak yang memberi ra­suah juga perlu didakwa dan dihebahkan, namun ia agak sukar atas alasan mereka diperlukan untuk menjadi saksi.

Pendakwaan tanpa saksi hanya akan membuang masa dan akhirnya mereka yang dituduh akan terlepas begitu sahaja. Itu yang saya dimaklumkan.

Agama Islam melarang keras penganutnya mengambil rasuah kerana ia boleh menjahanamkan sesuatu ins­titusi dan negara. Larangan itu juga disebut de­ngan jelas di dalam al-Quran iaitu; “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salah­nya).” (Surah al-Baqarah: 18)

Berdasarkan hal di atas, pesalah rasuah sepatutnya diberikan hukuman yang setimpal dengan perbuatannya itu. Makan suap juga boleh membebaskan orang yang bersalah dan memenjarakan mereka yang tidak bersalah.

Amatlah besar impak rasuah jika tidak dibendung oleh pihak berkuasa. Namun pesanan penulis, apa sahaja tindakan janganlah kita campur adukkan de­ngan politik demi meraih populariti semata-mata kerana jika itu berlaku, mereka yang membuatnya tidak ada bezanya dengan orang yang gemar makan suap.