Pengalaman luar biasa tersebut mampu dirasai dalam teknologi hiper-maya yang dibawa khas oleh RWG dan The VOID dengan kerjasama ILMxLAB membabitkan filem Star Wars: Secrets of the Empire pada penghujung tahun ini.

Ini merupakan kolobrasi pertama The VOID di luar Amerika Syarikat dan Britain, sekali gus menjadikan pegalaman di RWG ini yang pertama di Asia.

Pengerusi The VOID, Craig Watson berkata, pengalaman hiper-realiti yang mula mendapat sambutan ini mampu membawa orang ramai ke dalam dunia yang hanya wujud di dalam imiginasi mereka.

“The VOID menjadi peneraju dalam segmennya yang tersendiri dan kini kami selangkah ke hadapan dengan menjadikan perkara mustahil bertukar menjadi nyata dan membolehkan para pengunjung melangkah ke satu dunia realiti yang baharu.

“Dalam Star Wars: Secrets of the Empire, anda boleh mendengar, merasa, menyentuh malah dapat menghidu baunya, sekali gus membawa anda lebih dekat dengan jalan penceritaan, karakter dan tempat filem ini,” katanya.

Terletak pada ketinggian 6,000 kaki di atas paras laut, pengalaman Realiti Maya (VR) itu menjadi salah satu tarikan terbaharu di RWG yang mencatatkan jumlah kedatangan pelancong seramai 25 juta pada tahun lepas.

Tarikan ini adalah sebaris dengan tarikan lain termasuk restoran, premis peruncitan dan hiburan serta taman tema tertutup dan terbuka yang akan dibuka tidak lama lagi.

Menerusi Star Wars: Secrets of the Empire, pengunjung akan merasai pengalaman menakjubkan di mana mereka dibawa menerokai dengan bebas tanpa gangguan secara interaktif di dalam dunia Star Wars.

Gabungan realiti dan imiginasi itu menjanjikan pengalaman sebenar di mana pengunjung boleh merasai sendiri kesan efek seperti ditembak blaster bolts, bau asap di sekeliling persekitaran dan menekan butang bagi menyelesaikan teka-teki untuk melepaskan diri daripada musuh secara langsung melalui alat khas yang menghubungkan dunia nyata dan maya. - K! ONLINE