Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, selain bergantung sepenuhnya dengan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) bagi memeriksa harga barang keperluan, pengguna sendiri sepatutnya cuba untuk berubah dalam tabiat berbelanja.

"Memang benar objektif skim itu untuk mengawal harga, bagaimanapun, kita perlu melihat reaksi pengguna atau amalan terutama semasa musim Raya," kata Nadzim ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Nadzim berkata, pengguna juga perlu mengubah tabiat membeli-belah dan mengelak berbelanja pada saat-saat akhir kerana ia boleh menyumbang kepada kenaikan harga.

"Sebagai pengguna yang mengetahui tarikh perayaan lebih awal, mereka boleh merancang membeli barang yang penting terlebih dahulu bagi mengelakkan kenaikan harga berikutan pembelian pada saat-saat akhir sesuatu barangan itu," katanya.

Nadzim juga menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna agar memberi tumpuan bagi membimbing pengguna cara bagaimana untuk mengelakkan berbelanja berlebihan semasa musim perayaan.

"'Saya berpendapat kementerian boleh memberi tumpuan untuk melatih pengguna agar mereka boleh menjadi pembeli yang berhemah, bukan sahaja semasa musim Raya malah sepanjang kehidupan mereka," katanya.

Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh penguatkuasaan SKHMP sempena dengan Hari Raya selepas berbincang perkara itu dengan pihak berkepentingan.

Di samping itu, kementerian juga merancang untuk memasukkan lebih banyak barang di bawah skim itu agar pengguna mempunyai banyak pilihan dan mereka boleh membeli pada harga yang lebih murah. - Bernama