Dalam serbuan itu, pihak berkuasa merampas 235 ekor lembu, 46 ekor kambing, 38 ekor biri-biri dan empat ekor kerbau yang dianggarkan bernilai hampir RM1 juta.

Difahamkan, kesemua haiwan ternakan itu diseludup masuk dari negara Thailand melalui laluan tikus dan sungai di sempadan kedua-dua negara untuk memenuhi permintaan sempena musim Hari Raya Aidilfitri.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9, Superintendan Ramly Pancho berkata, rampasan selama tiga hari yang bermula Jumaat hingga semalam itu adalah hasil maklumat daripada Unit Risikan pihaknya.

Katanya, serbuan dilakukan di sekitar Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor di Tumpat dengan kesemua haiwan ternakan itu diseludup masuk untuk disembelih dan dagingnya dijual kepada pembekal dan pembeli sempena musim perayaan.

“Kesemua haiwan itu dibawa masuk menggunakan laluan-laluan tikus yang terdapat di sepanjang Sungai Golok.

“Dalam serbuan pertama Jumaat lalu pada pukul 4.34 pagi, kita berjaya merampas 37 ekor lembu di kawasan Tok Uban selepas menahan sebuah lori,” katanya di sini semalam.

Ramly berkata, serbuan kedua di Kampung Pulai, Pengkalan Kubor, Tumpat pula menyaksikan sebanyak 123 ekor lembu berjaya dirampas dalam operasi bermula pukul 5.08 petang.

Jelasnya, serbuan terakhir dilakukan di Kampung Kubang Pak Itam dengan rampasan 74 ekor lembu, 46 ekor kambing jenis Boer dan 38 ekor biri-biri.

“Rampasan di Kampung Pulai (Pengkalan Kubor, Tumpat) dan Kubang Pak Itam dilakukan di kawasan kandang milik penduduk tempatan selepas haiwan itu diseludup masuk ke negeri ini dari negara jiran.

“Penduduk juga mengaku tidak memiliki sebarang dokumen untuk menyimpan kesemua haiwan itu,” katanya.

Difahamkan, sindiket akan menggunakan pangkalan haram untuk membawa haiwan ternakan seperti lembu mengharungi Sungai Golok manakala kam­bing dan biri-biri diseludup ma­suk menggunakan perahu.

Kegiatan itu dipercayai dilakukan susulan permintaan tinggi terhadap haiwan ternakan tersebut pada musim perayaan.

Nilai pasaran bagi seekor lembu adalah sekitar RM4,000, kambing Boer (RM1,000) dan biri-biri (RM700).

Jelas Ramly, kesemua haiwan yang dirampas dipercayai untuk pasaran Kelantan dan negeri berdekatan termasuk di Perak.

Katanya, haiwan ternakan itu diserahkan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk tindakan selanjutnya.