Apatah lagi apabila ada antara anak mereka yang bakal memasuki tahun satu, sudah pasti persiapan akan dilakukan sebaik mungkin bagi memastikan fasa peralihan daripada tadika ke sekolah rendah menjadi suatu yang me­nyeronokkan bagi anak-anak mereka.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak berusia sekitar empat hingga enam tahun pula, tumpuan sudah tentu kepada usaha mencari tadika yang bersesuaian dan memenuhi keperluan-keperluan tertentu terutama dari segi jarak dan kos yang perlu dilaburkan.

Bercerita tentang tadika, penulis ingin berkongsi mengenai rungutan beberapa rakan yang mempunyai anak yang akan mula menjejakkan kaki ke alam tadika pada tahun depan.

Rata-rata mereka me­nyuarakan isu kadar bayaran pendaftaran tadika yang dianggap tinggi dan membebankan orang ramai terutama tadika swasta yang terletak di bandar-bandar besar.

Kata mereka, sebahagian besar tadika swasta yang boleh dikategorikan sebagai kelas sederhana rata-ratanya mengenakan yuran awal antara RM700 hingga RM1,000 selain yuran bulanan mencecah hampir RM200.

Walaupun ia dikatakan sudah termasuk dengan yuran bagi bulan November, namun ia tetap dianggap tinggi dan membebankan.

Itu belum dikira tadika kelas tinggi yang me­ngenakan yuran pendaftaran melebihi RM2,000 selain yuran bulanan yang mencecah sekitar RM400 hingga RM500.

Luah mereka lagi, untuk mendaftarkan anak ke prasekolah atau Tabika Kemas pula, syarat kemasukannya agak ketat, apatah lagi apabila ke­dua-dua institusi itu lebih mengutamakan golongan berpendapatan rendah dengan kadar kemasukan yang terhad.

Dari satu sudut, syarat tersebut dilihat sangat baik kerana mampu menyediakan peluang kepada golongan berkenaan untuk menghantar anak-anak mereka memasuki alam tadika dengan kos yang minimum.

Ia juga dilihat dapat menyekat golongan tertentu terutama mereka yang berpendapatan sederhana dan tinggi daripada turut berebut untuk mendapatkan tempat di prasekolah atau Tabika Kemas sedang­kan mereka sebenarnya mampu untuk mendaftarkan anak mereka di tadika kelolaan swasta.

Tetapi dari satu sudut lain pula, tidak semua golongan berpendapatan sederhana boleh dilabelkan sebagai mampu kerana ramai juga dalam kalangan mereka yang termasuk dalam kategori miskin bandar walaupun mempunyai pendapatan melebihi RM2,000 sebulan.

Daripada perbualan bersama rakan-rakan penulis, mereka akhirnya tiada pilihan dan terpaksa mengikut arus pasaran dengan mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi semata-mata bagi memastikan si kecil mereka tidak tercicir daripada mendapat pendidikan peringkat tadika walaupun terpaksa bergolok-bergadai.

Kesimpulannya, pihak-pihak berkepentingan harus melihat isu kemasukan ke tabika khususnya melibatkan yuran yang tinggi sebagai perkara yang perlu diberi perhatian agar rakyat tidak berasa terbeban dan dibebani hutang yang sepatutnya boleh dielakkan. - K! ONLINE