Harumanis yang menjadi ikon Perlis kini dalam fasa memasuki buah matang sebelum ranum dan boleh dituai sekitar bulan Mei ini.

Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak berkata, disebabkan pengeluaran serentak buah harumanis ini, pihaknya dengan para petani telah merangka pelbagai strategi bagi mengelakkan berlaku lambakan harumanis seperti pada musim Ramadan pada tahun ini.

“Mengikut perkiraan, harumanis akan mengeluarkan hasil pada musim Ramadan. Bila datang sahaja bulan puasa, buah harumanis juga sedia untuk dipetik dan dipasarkan,” kata beliau pada sidang akhbar pelancaran Program Jimat Belanja Dapur (JBD)@ ABR1M Peringkat Negeri Perlis di AgroBaazar Rakyat 1Malaysia (ABR1M), Kampung Titi Tinggi Ulu di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Perlis, Ahmad Bakri Ali.

Menurut beliau, bagi menjayakan kempen makan buah harumanis sebagai pembuka selera pada musim Ramadan, FAMA akan mengadakan kempen dan promosi menerusi televisyen seminggu menjelang bulan Ramadan dan kempen itu akan berterusan sehingga berakhirnya bulan puasa.

“Menerusi iklan promosi tersebut juga penonton akan diberi maklumat mengenai kebaikan dan khasiat buah mempelam harumanis.

“Selain televisyen, kempen sama juga akan digerakkan menerusi media sosial dan YouTube,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad berkata, FAMA akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan lain seperti Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk mengeksport mempelam harumanis ke Jepun, Hong Kong dan Singapura.

“Kita yakin dengan sokongan bekalan harumanis yang berkualiti, buah ini mampu menarik warga Kota Singa (Singapura) mengimport buah itu dengan banyak,” katanya.

Kosmo! pada 12 Jun tahun lalu melaporkan, terdapat petani mempelam harumanis di Perlis yang mengalami kerugian kerana berlaku lambakan buah dan penurunan mendadak harga harumanis.

Lambakan di pasaran berpunca daripada faktor bulan puasa iaitu orang ramai kurang membeli buah itu selain disumbangkan faktor kelemahan kaedah pemasaran buah tersebut.

Fenomena itu mengejutkan negara kerana harumanis pada tahun 2015 mampu dijual sehingga RM50 sekilogram berbanding RM10 sekilogram pada tahun lalu.

Orang ramai yang mahu maklumat lanjut mengenai produk harumanis boleh menghubungi FAMA di talian 03-6126 2020 atau layari www.fama.gov.my.