Aku janji itu dilancarkan secara berperingkat selepas Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan manifesto BN pada 7 April lalu serentak dengan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-14 diadakan.

Pastinya rakyat Malaysia teruja dengan pelbagai insentif dan bantuan yang bakal dinikmati mereka jika BN terus mendapat mandat memerintah negara.

Antara manifesto BN yang mempunyai faktor ‘Wow’ bagi ramai rakyat terutama yang bakal menerimanya ialah kenaikan kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah, BRIM pada Jun dan Ogos ini akan digandakan daripada RM400 pada RM800 manakala mereka berpendapatan di antara RM3,000 hingga RM4,000 menerima RM600 pada bulan sama berbanding RM300.

Tidak ketinggalan juga orang bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah yang menerima BR1M sebanyak RM450 pada Februari lalu akan ditambah RM150 lagi pada Jun ini.

Di peringkat negeri pula tidak kurang hebatnya, pelbagai aku janji terkandung dalam manifesto BN negeri masing-masing.

Gabungan pembangkang juga melancarkan manifesto mereka dengan menabur pelbagai janji manis untuk memancing undi rakyat supaya memangkah pakatan itu pada hari pengundian, 9 Mei ini.

Rakyat kini adalah segala-galanya bagi setiap parti politik yang bertanding. Sebab itu kita lihat terdapat gimik politik yang menunjukkan ada pemimpin sanggup me­lakukan apa sahaja demi rakyatnya.

Kuasa rakyat yang sebenar dapat dilihat ketika PRU. Rakyatlah yang menentukan parti mana akan memena­ngi pilihan raya dan seterusnya membentuk kerajaan serta memimpin negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketika itu, rakyat berhak menghukum dan mengadili pemimpin atau parti politik yang mereka sukai atau benci.

Selain manifesto bagi menarik hati pengundi, setiap parti juga akan meletakkan calon-calon yang terbaik untuk memastikan individu itu dipilih oleh rakyat khusus­nya pengundi di kawasan itu.

Pengundi mempunyai kriteria tertentu dalam pemilihan calon selain ideologi politik yang dianuti mereka.

Ada pengundi yang melihat kepada calon itu sendiri tanpa mempedulikan parti yang diwakili mereka.

Terdapat juga pengundi yang lebih mementingkan lambang parti yang diwakili calon bertanding kerana mahu sesebuah parti itu memenangi pilihan raya sekali gus dapat membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, calon yang terbaik, mempunyai banyak jasa dan diyakini boleh menang merupakan taruhan yang paling penting bagi setiap parti politik.

Rakyat kini sudah mula menilai calon-calon yang bakal bertanding apabila BN dan gabungan pembangkang sudah mula mengumumkan calon masing-masing.

Tidak seperti PRU-13, nama calon-calon yang bertan­ding hanya akan diketahui pada hari penamaan.

Masa depan negara akan ditentukan pada hari pengundian 9 Mei nanti. Lebih 14 juta pengundi mempunyai tempoh tidak sampai 15 hari lagi untuk membuat keputusan parti mana yang lebih bertanggungjawab dan dapat me­ngotakan janji mereka.

Berfikirlah secara rasional dalam memilih calon dan parti yang dapat menjamin masa depan Malaysia yang lebih gemilang.

Usahlah terpengaruh dengan janji-janji manis yang tidak realistik kerana sebarang perubahan yang tidak tepat hanya akan membawa kemusnahan kepada agama, bangsa dan negara.