Ia umpama suatu  'rang jaminan' bahawa rumah mampu milik akan sentiasa dibina bukan sahaja oleh kerajaan tetapi juga pemaju swasta, dengan pelaksanaan dasar mewajibkan 50 peratus rumah yang dibina adalah rumah mampu milik.

Isu perumahan yang  sering menjadi topik bualan hangat rakyat di negara ini menjadi antara keutamaan kerajaan Negeri Sembilan yang diterajui Barisan Nasional.

Menjadi satu-satunya negeri yang melaksanakan dasar perumahan sendiri, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Dasar Perumahan NS dilaksanakan berikutan beliau merasakan dasar perumahan sedia ada yang mewajibkan pemaju membina 30 peratus rumah kos rendah daripada keseluruhan projek pembangunan, sudah tidak relevan.

"Kita satu-satunya negeri yang tak pakai Dasar Perumahan Negara. Pada 2015 saya bawa ke dewan dan diluluskan sebulat suara bahkan pembangkang pun setuju.

"Kita mewajibkan semua pemaju mesti membina sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah yang nak dibina dalam bentuk rumah mampu milik dan tak perlu lagi bina rumah kos rendah.

"Rumah kos rendah yang hanya mempunyai satu bilik sudah tidak sesuai untuk didiami lagi," katanya dalam satu temu bual ekslusif dengan Bernama baru-baru ini. - Bernama