Pengerusinya, Ishak Ismail berkata, pengambilan buah-buahan per kapita rakyat negara ini masih rendah berbanding negara maju iaitu 63 kilogram (kg) bagi setiap orang untuk setiap tahun berbanding 146 kg seperti yang disarankan WHO.

"Kajian FAMA juga mendedahkan secara puratanya rakyat negara ini hanya makan buah-buahan 5 kg sebulan, 1 kg seminggu dan 120 gram sehari iaitu lapan kali ganda lebih rendah berbanding saranan WHO.

"Justeru, FAMA akan jalankan kempen besar-besaran untuk galakkan orang ramai makan buah-buahan tempatan bermula kempen di sekolah seperti program kerjasama dengan penggiat seni," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Kempen Jom Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan di Tapak Ekspo Seberang Jaya di sini yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa serta Kesihatan negeri, Dr. Afif Bahardin.

Dalam pada itu, Ishak berkata, FAMA juga akan meningkatkan pemasarannya melalui program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) supaya buah-buahan tempatan dapat diakses dengan mudah kepada pengguna.

"Kita optimis sasaran jualan RM5 juta menerusi program JTDL berjaya dicapai memandangkan sehingga Jun ini sahaja kita berjaya mencapai nilai jualan sebanyak RM3.5 juta.

"Program JTDL ini juga telah diperluaskan sehingga ke 380 lokasi di seluruh negara dan ia mampu memberikan faedah kepada pembeli serta pengeluar produk buah-buahan tempatan untuk memasarkan produk mereka," katanya. - K! ONLINE