Meskipun jadual program lawatan agak padat tetapi saya dan rakan kembara yang lain akan ‘mencuri’ masa untuk singgah ke outlet tersebut bukan untuk menjamu selera tetapi sekadar bergambar dan membeli sedikit barangan di kedai jualan cenderahatinya.

Tidak kiralah lokasinya agak jauh terpencil daripada penginapan, misi untuk menjejakkan kaki ke kafe terkenal itu perlu direalisasikan.
Kepuasan terserlah kerana kunjungan itu berbaloi selepas mendapatkan sehelai baju yang mempamerkan outlet HRC di negara berkenaan.

Berdasarkan ketaksuban kepada jenama HRC di seluruh dunia, rakyat Malaysia telah disenaraikan sebagai kumpulan pelanggan terbesarnya di seluruh dunia yang membeli-belah dengan jumlah yang banyak di kedai cenderahati diikuti oleh rakyat Indonesia dan seterusnya rakyat Itali.

Pengurus Besar HRC Melaka, Anderson K. Selva berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan oleh syarikat tersebut di seluruh dunia, ia merupakan satu perkembangan yang menggalakkan.

Menurut beliau, pengunjung yang terdiri daripada rakyat Malaysia akan berbelanja lebih daripada RM200 seorang di setiap outlet HRC yang dikunjunginya.

“Cita rasa mereka adalah pelbagai dan ada yang gemar mengumpul baju sebagai koleksi peribadi, topi, anak patung, jaket ataupun pin,” katanya ketika ditemui di outlet HRC di Melaka baru-baru ini.

Sehingga kini, Hard Rock International ber­operasi di 74 buah negara yang melibatkan 179 kafe, 24 buah hotel dan 11 kasino.
Di Malaysia pula terdapat empat outlet HRC iaitu di Kuala Lumpur, Pulau Pinang (hotel), Me­laka dan di Kota Kinabalu, Sabah.

Difahamkan, sebuah lagi outlet baharu bakal dibuka di Johor tidak lama lagi. Jika cawangan baharu itu mula beroperasi, pastinya ia bakal menarik minat rakyat Singapura untuk berbelanja di situ bagi menambah koleksi peribadi masing-masing.

Pertambahan bilangan rangkaian kafe popular di negara ini menunjukkan jenama kafe tersebut terus mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat negara ini dan selain berhibur serta bersantai, pengunjung ke sana turut mahu menikmati hidangan lazat yang dihidangkan.

Jika dahulu jenama kafe popular itu dianggap sebagai salah satu pusat hiburan yang mendapat persepsi negatif dalam kalangan masyarakat tetapi kini ia mampu menyumbang kepada industri pelancongan negara malah menarik pelancong asing untuk singgah ke outlet HRC.

Sumbangannya kepada pertumbuhan ekonomi juga tidak boleh diperkecilkan kerana ia menawarkan peluang pekerjaan kepada kakitangannya yang mana rata-ratanya terdiri daripada rakyat tempatan.

Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang dan diberi latihan agar mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh syarikat induk agar perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan mencapai standard antarabangsa.