Seorang penerima Hayati Mohamad, 54, berkata selain untuk perbelanjaan, wang BR1M yang diterima selama ini turut dijadikan sebagai modal untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan di pasar malam.

"Walaupun bagi sesetengah orang bantuan yang diberikan ini hanya sedikit, namun amat bermakna bagi kami...dengan duit ini juga saya gunakan untuk waktu-waktu kecemasan seperti biaya perubatan anak-anak jika mereka sakit," kata ibu tunggal itu kepada Bernama ketika ditemui selepas menerima wang BR1M hari ini.

Seramai 2,000 penduduk dari sekitar Parlimen Pekan menjadi penerima pertama BR1M yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Konvensyen Sultan Hj Ahmad Shah di sini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Pengagihan fasa pertama BR1M pada tahun ini bermula esok melibatkan peruntukan sebanyak RM6.3 bilion untuk kira-kira tujuh juta penerima di seluruh negara yang akan dilakukan dalam tiga fasa.

Sementara itu, Mohamad Faiz Hakimi Abdul Rahim, 29, yang pertama kali memohon BR1M berkata kesukaran untuk memohon bantuan itu secara dalam talian tidak menghalangnya untuk terus mencuba sehingga permohonannya lulus.

 "Saya berharap pemberian ini akan berterusan walaupun terdapat segelintir yang tidak menyokong dan melontarkan pelbagai kata-kata negatif termasuk dedak dan sebagainya," katanya yang bekerja sebagai pekerja am di sebuah syarikat swasta di sini.

Seorang penerima warga emas pula, Maimun Alias, 60, berkata pemberian itu amat membantu terutama kepada golongan ibu tunggal seperti beliau.

"Orang macam mak cik ini dah tak ada tempat bergantung, dengan bantuan BR1M yang diberikan dapat  juga menampung sedikit bebanan dan ini juga menunjukkan kerajaan prihatin dengan rakyat. Mak cik memang setiap tahun dapat bantuan ini...terima kasih pada perdana menteri dan jika boleh kami amat mengharapkan agar jumlah bantuan ini dapat ditingkatkan pada masa depan," katanya.

Bayaran BR1M mula diperkenalkan pada 2012 dengan bayaran RM500 bagi pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah disusuli RM500 pada 2013, 2014 (RM650), 2015 (RM950), 2016 (RM1,000), 2017 (RM1,200) dan 2018 (RM1,200). - Bernama