Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata, sebagai rakyat yang cintakan negara, mereka perlulah berasa komited untuk mengibarkan Jalur Gemilang tanpa perlu sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.

"Perkara yang perlu dibuat adalah menyuntik semangat patriotik kepada rakyat khususnya golongan muda untuk sama-sama merasai apa itu sambutan Kemerdekaan atau paling tidak sama-sama menjiwai apakah pengorbanan orang-orang dan pejuang-pejuang terdahulu dalam proses menuntut kemerdekaan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Maklumat Rakyat (PMR) dan penyerahan Jalur Gemilang peringkat daerah Seremban di sini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan, Sabarudin Yeop Hamza dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Razali Ab Malik.

Padang Kota Lama, Pulau Pinang telah dipilih sebagai lokasi pelancaran Bulan Kebangsaan yang bertema 'Sayangi Malaysiaku' Dan Kibar Jalur Gemilang 2018 dan pelancaran dijangka akan  disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 4 Ogos depan. - Bernama