Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, lelaki berumur 18 tahun itu ditahan pada pukul 2.30 petang selepas polis bertindak atas maklumat dan risikan berkaitan kegiatan kecurian tersebut.

“Hasil penahanan suspek, polis bertindak ke kawasan bawah jambatan Sungai Kittang di Teluk Sengat lalu pemeriksaan lanjut menemui sembilan rangka motosikal tanpa enjin di dalam sungai di bawah jambatan tersebut.

“Satu rangka motosikal didapati bersabit laporan kehilangan kenderaan itu di Permas Jaya, di sini, pada tahun 2015 manakala lapan lagi motosikal didapati nombor casisnya sudah diganggu,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Ahsmon berkata, modus operandi lelaki itu adalah mencuri motosikal yang tidak dipasang kunci tambahan dan seterusnya bertindak meleraikan komponen kenderaan terbabit untuk dijual manakala rangkanya dibuang ke dalam sungai.

Katanya, kesemua sembilan rangka motosikal itu dianggar bernilai RM40,000 dan lelaki berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955. - K! ONLINE.