Biarpun ketinggalan 0-2 pada 20 minit pertama, skuad kendalian B. Sathianathan bangkit untuk menjaringkan tiga gol, sekali gus mengutip tiga mata berharga di tempat lawan.

Sathianathan berkata, beliau memuji semua pemain yang tidak mudah putus asa dan bermain dengan lebih baik selepas tuan rumah mendahului 2-0 pada minit ke-16 dan 20 menerusi Rafael Ramazotti dan Mohd. Faris Ramli.

“PKNS FC adalah pasukan yang hebat apabila menamatkan saingan Liga Super di tempat ketiga dan kemenangan ini amat berharga bagi kami meneruskan misi untuk muncul juara Kumpulan B.

“Pemain-pemain saya agak tertekan pada awal babak pertama sehingga benteng pertahanan kami mudah dirobek oleh tuan rumah yang mendapatkan dua gol awal de­ngan mudah,” katanya kepada Kosmo!.

Menurutnya, anak-anak buahnya tidak mudah mengalah, malah terus menggandakan asakan ke kubu tuan rumah untuk memburu gol dan ia berhasil apabila Iain Ramsay meledak gol pertama pada minit ke-38.

“Gol itu menjadi pembakar semangat kepada kami dan beberapa perubahan yang saya lakukan pada separuh masa kedua membolehkan kami menguasai perlawanan untuk menambah dua lagi jaringan,” ujarnya.

Sathianathan memberitahu, jaringan pe­­nyamaan Gilberto Fortunato pada minit ke-68 meningkatkan lagi semangat juang The Fighters sebelum pemain pertahanan, Wan Amirul Afiq membuat rembatan kencang untuk gol kemenangan pada minit ke-81.

“Saya tidak mahu semua pemain dibuai dengan mimpi indah setelah mencatat dua kemenangan untuk kami selesa sebagai pendahulu Kumpulan B dengan tujuh mata. Sebaliknya mereka perlu meningkatkan mutu permainan masing-masing bagi mengharungi pusingan kedua pula,” jelas­nya.

Tambahnya, pasukan PKNS FC, Melaka United dan PDRM pasti akan bangkit untuk memberi cabaran kepada pasukannya bagi merebut slot ke peringkat seterusnya.

“Saya perlu memperkemaskan bahagian pertahanan agar kami dapat membina benteng yang lebih kukuh terutama dua perlawanan di laman sendiri berdepan PKNS FC dan PDRM selepas ini,” kata beliau.