Pelantikan Raha yang sebelum ini menyandang jawatan Pengarah Bahagian Perancangan Kecemerlangan Institusi Pendidikan Tinggi Awam di Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan (KPM) sekali gus menjadikan beliau wanita pertama menerajui UTeM.

KPM dalam satu kenyataan berkata, pelantikan beliau adalah berdasarkan kepakaran, pengetahuan, pengalaman dan pencapaian semasa memegang jawatan pentadbiran utama dan jawatan-jawatan sebelumnya sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

"KPM percaya beliau akan dapat memacu kecemerlangan UteM ke tahap yang lebih tinggi," katanya di sini hari ini.

Raha yang berasal dari Johor dan dilahirkan pada 5 Mei 1963 mempunyai Ijazah Sarjana Muda Mikrobiologi dari Oklahoma State University, Amerika Syarikat.

Pada tahun 1990, beliau seterusnya melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana di universiti sama dan memperoleh Ijazah Kedoktoran pada tahun 1995 dari Strathclyde University, United Kingdom.

Dari segi pengalaman pentadbiran peringkat kementerian dan universiti, beliau juga pernah menyandang jawatan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Siswazah) Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul UPM.

Beliau telah terlibat aktif dalam penulisan lebih 130 jurnal akademik, pelbagai konferens dan seminar serta aktiviti konsultansi bagi beberapa agensi kerajaan dan industri bioteknologi.

Di peringkat antarabangsa pula, Raha merupakan ahli American Society for Microbiology dan Ketua Setiausaha Asian Federation of Societies for Lactic Acid Bacteria. 

"Selain itu, beliau turut mempunyai hubungan baik dan jaringan kolaborasi yang luas di peringkat nasional dan antarabangsa sehingga berjaya membawa pelbagai geran projek penyelidikan semasa berkhidmat di UPM," katanya.

Susulan daripada sumbangan kepada universiti, beliau telah menerima Anugerah
Perkhidmatan Cemerlang UPM pada tahun 2009, 2005, 2004 dan 2002, Anugerah
Penyelidik Cemerlang, Institut Biosains pada 2007 selain turut meraih pelbagai pingat pencapaian bagi projek-projek Mikrobiologi dan Biologi Molekul.

Justeru, KPM yakin pelantikan ini dapat meneruskan kesinambungan pencapaian dan sumbangan beliau kepada kecemerlangan UTeM dalam mencapai visi dan misi sebagai Universiti Teknikal ternama.

Sementara itu, KPM juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan Datuk Prof. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin atas khidmat bakti dan kepimpinan beliau sepanjang memegang jawatan sebagai Naib Canselor UTeM mulai 16 Jun 2014 hingga hari ini. -K! ONLINE