Hakim Zamri A. Bakar turut menjatuhkan hukuman yang sama ke atas bekas kerani sebuah bank, Johari Mohamad, 47, selepas turut didapati bersalah atas pertuduhan tersebut.

"Mahkamah mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes," katanya.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan hukuman ke atas kedua-dua tertuduh sehingga keputusan rayuan dan mengekalkan kos ikat jamin RM15,000.

Mohd. Rafizi, didakwa atas pertuduhan mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik NFC, National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn. Bhd. dan akaun bank Mohamad Salleh kepada perunding media Yusof Abdul Alim dan pemberita The Star, Erle Martin Carvalho.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya, pada 7 Mac 2012.

Mohd Rafizi didakwa mengikut Seksyen 97(1) Bafia yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Johari, juga didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan Mohd Rafizi pada tarikh dan alamat yang sama. Beliau didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) Bafia, dan boleh dihukum menurut Seksyen 103 akta sama. - K! ONLINE