Qlassic adalah penanda aras kualiti hasil kerja pembinaan bangunan berlandaskan Stan­dard Industri Pembinaan (CIS 7).

Selain melancarkan proses pengawalan kualiti hasil kerja bagi sesebuah projek, Qlassic juga dijadikan sebagai kriteria pematuhan kualiti bagi me­ngukur prestasi kontraktor.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, sistem itu dilihat sebagai satu usaha yang amat baik kerana dapat memberi penilaian secara objektif terhadap mutu kerja projek pembinaan melalui sistem pemarkahan.

Menurutnya, semasa sistem tersebut diperkenalkan pada tahun 2013, projek yang mendapat skor 80 peratus hanya sekitar 10 projek tetapi kini meningkat kepada 37 projek.

“Disebabkan itu kementerian amat komited dalam membantu penggiat industri menambah baik kualiti dalam industri pembinaan agar lebih berdaya saing serta mampu berkembang ke aras lebih tinggi.

“Saya rasakan bahawa sektor ini perlu diberi perhatian kerana ia merupakan antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Hari Qlassic 2018 di Hotel Renaissance dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi CIDB, Tan Sri Dr. Ir Ahmad Tajuddin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif CIDB, Datuk Ir. Ahmad ‘Asri Abdul Hamid.

Pada majlis tersebut, seba­nyak 25 syarikat pemaju, 31 kontraktor dan 32 arkitek menerima pengiktirafan, selain 37 projek diumumkan memperoleh skor Qlassic melebihi 80 peratus.

Sementara itu, menurut Ahmad Tajuddin, inisiatif ber­kenaan dianggap sebagai antara komponen penting kepada syarikat pemaju dan kontraktor tempatan mengukuhkan jenama serta mutu kerja.

“Bagi meneraju perubahan dalam industri pembinaan, kami sentiasa mempergiat usaha untuk menerima maklum balas serta persepsi penggiat sektor ini terhadap inisiatif yang dilaksanakan CIDB.

“CIDB sedia membantu syarikat yang ingin mendapatkan latihan Qlassic kerana tujuan penilaian adalah ingin membantu pemilik projek meningkatkan kualiti pembinaan projek ma­sing-masing,” katanya.