Kejadian pukul 9 malam tersebut berlaku ketika mangsa, Azman Mohd. Nor, 46, sedang membaik pulih bumbung rumahnya yang bocor selepas dipukul angin sebelum itu.

Azman berkata, ketika melakukan kerja-kerja baik pulih itu dia dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dan mendapati pokok bongor di belakang rumahnya telah tumbang.

 "Saya terus keluar menyelamatkan diri dan selepas itu terkejut mendapati betis kiri sudah belumuran darah.

"Selepas itu saya terus dibawa ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tinjauan mendapati bahagian bilik dan rumah Azman ranap dihempap dahan pokok tersebut.

Sementara itu, isteri Azman, Rosinah Mat Ghani, 49, berkata, kawasan rumahnya dan penduduk sekitar dilanda ribut yang agak kuat.

Katanya, dia ketika itu berada di dalam bilik bersama anak bongsu serta cucu berusia setahun.

"Disebabkan ribut terlalu kuat, anak bongsu Farah Anisha,12, mengajak saya untuk keluar dari bilik dan tidur diluar selepas takut dengan bunyi desiran angin itu.

"Selang dua tiga langkah, kami dikejutkan dengan dentuman kuat apabila dahan pokok bongor tumbang lalu menghempap bilik dan bahagian dapur rumah," ujarnya. - K! ONLINE