Pembinaan reban ayam dan kandang lembu berskala besar yang dipercayai dilakukan secara haram kira-kira 100 meter dari Pusat Penetasan Penyu Geliga itu dikhuatiri akan mengganggu proses pendaratan penyu untuk bertelur di kawasan tersebut.

Seorang penduduk, Zakaria Yusuf, 64, mendakwa reban ayam tersebut terlalu dekat dengan kawasan pantai  sekali gus boleh mengganggu pendaratan penyu di kawasan berkenaan.

"Kawasan reban itu juga sentiasa diterangi dengan lampu pada waktu malam yang boleh menyebabkan gangguan kepada penyu yang mahu mendarat untuk bertelur.

"Ia amat tidak bertanggungjawab kerana tidak peka terhadap usaha untuk memelihara spesies haiwan terancam berkenaan," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Sehubungan itu, Zakaria merayu tindakan tegas pihak terlibat dengan segera bagi menangani masalah terbabit. - K! ONLINE