Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, pusat yang bakal dilengkapi dengan 24 mesin dialisis tersebut kini berada pada fasa terakhir penilaian daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum memulakan operasi.

"Kita masih menunggu unit pemeriksaan daripada KKM untuk buat penilaian di pusat tersebut misalnya dari segi kebersihan dan susun atur perpaipan.

"Ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi sebelum KKM beri kebenaran dan sejurus mendapat kelulusan kita akan mula letakkan kesemua peralatan ke dalam pusat tersebut," katanya ketika ditemui pemberita di Karnival Jom Kembali ke Sekolah DUN Seberang Takir di Dataran Permata di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, kira-kira 3,000 murid dan pelajar hadir bagi menerima sumbangan peralatan sekolah serta mendapat servis gunting rambut secara percuma. 

Pusat hemodialisis yang dibina dengan kos kira-kira RM1.4 juta itu merupakan hasil sumbangan badan korporat serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan ia mampu menampung sehingga 144 kali sesi rawatan dalam tempoh seminggu. - K! ONLINE