Program yang disertai 130 orang kakitangan SIRIM dan sukarelawan termasuk ahli keluarga serta penduduk setempat itu telah dijalankan dengan jayanya di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Pasir Panjang, Segari, Perak baru-baru ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof. Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, kesedaran dalam kalangan orang ramai terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar terutamanya di kawasan pendaratan penyu perlu ditingkatkan memandangkan hidupan laut itu kini diancam kepupusan.

“Penganjuran aktiviti CSR Bersihkan Pantai Kita ini merupakan salah satu inisiatif kecil SIRIM dalam memupuk kesedaran orang ramai dalam memulihara alam sekitar.

“Dalam program ini juga, kita menerangkan kepada peserta mengenai tabiat buruk pembuangan sampah di pantai dan kesannya terhadap habitat akuatik di sekitarnya termasuk penyu,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan Perak, Zaki Mokri.

Tambah Ahmad Fadzil, program yang julung-julung kali diadakan itu juga memberi pendedahan kepada peserta mengenai pe­ranan yang boleh dimainkan terutamanya berkaitan dengan pengurusan ekosistem dan biodiversiti pesisiran pantai.

“Pesisir pantai yang dicemari sampah-sarap bukan sahaja mencemarkan kawasan tetapi turut menjejaskan hidupan marin termasuk menyukarkan penyu naik ke darat untuk bertelur.

“Ribuan hidupan marin terbunuh akibat pencemaran plastik dan dianggarkan sebanyak 100 juta tan plastik di lautan di seluruh dunia. Disebabkan kehidupan kita sudah sebati de­ngan plastik, kita haruslah lebih berdisiplin dalam mengguna dan menguruskannya demi memelihara kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang,” jelasnya.

Sementara itu, Ahmad Fadzil berkata, dalam usaha menyokong kelestarian alam sekitar, SIRIM menawarkan teknologi pelupusan sisa makanan melalui sistem pencernaan anaerobik.

“Sistem itu kini telah digunapakai di beberapa pusat perniagaan makanan di USJ, Subang dan Sepang, Selangor serta di Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Ia mampu menjana biogas daripada sisa makanan yang telah dirawat sebelum ditukar kepada tenaga elektrik untuk kegunaan setempat,” katanya.

Katanya, perkhidmatan lain yang turut ditawarkan SIRIM termasuk pensijilan pelabelan eko dan teknologi pembungkusan Green-Blue yang menawarkan pembungkusan mesra alam dan terbiodegradasikan.

Program selama enam jam bermula pada pukul 12 tengah hari itu, dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti antaranya mengutip sampah dalam jarak tiga kilometer dari pesisiran pantai, menanam 50 anak pokok ambung-ambung atau pokok penyu, penyerahan dua papan tanda kesedaran, serta acara melawat dan memberi makan penyu-penyu yang terdapat di pusat konservasi tersebut.