Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya hari ini berkata, siasatan bertujuan mengenal pasti punca kejadian.

"Untuk makluman, pihak sekolah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) untuk dipatuhi apabila mengendalikan ujikaji di makmal. Pihak sekolah juga telah menghulurkan segala bantuan yang diperlukan kepada kesemua pelajar yang terlibat dalam menghadapi situasi ini," menurut kenyataan itu.

Kejadian berlaku pagi semalam ketika 19 pelajar dibantu seorang guru sedang menjalankan ujikaji proses pemanasan hablur iodin untuk tindak balas pemeluapan.

Bagaimanapun, berikutan kurang pengudaraan dalam makmal menyebabkan 12 pelajar mengalami sesak nafas dan batuk berterusan.

Seramai 11 pelajar menerima rawatan di sekolah manakala seorang telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan pesakit luar. - Bernama