Pengarahnya, Mohd. Nawayai Yasak berkata, ia ekoran pandangan negatif masyarakat yang mengecam pihak pengurusan zoo kerana dianggap gagal menjaga haiwan dengan baik selain teguran daripada pihak kerajaan negeri yang melakukan lawatan mengejut di pusat ber­kenaan baru-baru ini.

Menurutnya, Zoo Melaka sebelum ini telah menyediakan pelan penambahbaikan yang dilaksanakan secara berperingkat demi menjaga keselamatan haiwan selain meningkatkan ke­selesaan pengunjung.

“Kita akui kecuaian yang berlaku termasuk kematian beberapa spesies haiwan bernilai tinggi akibat dimakan ular sawa hingga menyebabkan Zoo Me­laka menanggung kerugian mencecah RM50,000.

“Antara yang sedang dilaksanakan ialah pemasangan jaring halus tiga lapisan di beberapa sangkar burung bagi mengelak ia dimasuki ular sawa seterus­nya mengurangkan risiko kematian ­spesies tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Zoo Melaka dan Safari Malam kelmarin.

Menurut Mohd. Nawayai, bagi pe­rancangan tempoh masa panjang pula, pihak Zoo Melaka akan meningkatkan lagi jumlah spesies binatang yang ada di zoo tersebut dari luar negara melalui peruntukan dana sedia ada.

“Beberapa spesies yang tidak mempunyai pasangan juga akan dilengkap­kan termasuk cipanzi, orang utan, mandrill dan kudu selain menambah spesies baharu yang belum terdapat di Zoo Melaka seperti seladang dan walabi.

“Langkah ini diharap dapat mening­katkan lagi keunikan zoo seterusnya menambah bilangan pe­ngunjung ba­haru dan memastikan pengunjung sedia ada tertarik untuk datang kembali,” tambahnya.