Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, biar pun tidak berpenghuni, pulau seluas 203 hektar tersebut mempunyai keistimewaan tersendiri kerana kaya dengan nilai sejarah dan warisan serta mempunyai keindahan flora fauna serta terembu karang di dasar laut perairannya.

Beliau berkata, segmen pelancongan untuk Pulau Bidong berkonsepkan pelancong bersasar dan lawatan harian tanpa sebarang kemudahan resort dan hotel untuk bermalam bagi memelihara kelestariannya.

"Kerajaan negeri Terengganu akan mengeluarkan bajet khas segera setelah kita memperolehi royalti hasil petroleum daripada kerajaan Persekutuan pada bulan hadapan untuk meneruskan projek-projek membina dan memperbaiki kemudahan pelancongan di Pulau Bidong.

"Selain itu, bajet khusus untuk industri pelancongan Pulau Bidong akan dibentangkan kerajaan negeri pada Bajet 2019 bulan November ini," katanya ketika ditemui semasa melakukan lawatan kerja ke Pulau Bidong dekat sini hari ini.

Sewaktu diisytihar sebagai Pusat Penempatan Orang Hanyut Vietnam dari tahun 1978 hingga 1991, Pulau Bidong telah dihuni seramai 252,390 pelarian negara tersebut. - K! ONLINE