Beliau berkata, pulau berkenaan mempunyai potensi yang baik untuk dibangunkan seperti Pulau Langkawi selain menjadikannya  sebagai pusat pengeluar produk tempatan seperti industri koko dan sekali gus menjana ekonomi masyarakat setempat dan negeri.

"Kaedah memerangi aktiviti khurafat di Pulau Besar sebelum ini gagal kerana pulau tersebut tidak dibangunkan, terbiar, sunyi dan tiada produk baharu dikeluarkan menyebabkan berlakunya aktiviti berkenaan kerana terdapat kumpulan yang menyalahgunakan kawasan itu disebabkan ia terasing dari masyarakat.

"Dengan adanya pembangunan yang terancang dan menyeluruh, ia merupakan satu langkah terbaik untuk menghapuskan aktiviti khurafat yang berlaku di pulau berkenaan sekaligus membersihkan kawasan terbabit," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pembangunan berkenaan memerlukan perancangan rapi kerana ia melibatkan beberapa isu termasuk permohonan zon bebas cukai untuk beberapa produk lain selain minuman keras yang telah diperoleh sebelum ini serta pemilikan tanah di pulau berkenaan melibatkan beberapa individu selain Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka. - Bernama