Pendaftar Akademi Pilihan Raya SPR, Nik Aminudin Nik Shahar Shah berkata, menerusi prosedur baharu itu, kerani yang bertugas di pusat pengundian akan memeriksa kedua-dua belah jari pengundi dengan lebih teliti untuk memastikan mereka tidak memakai sarung jari atau mempunyai kesan dakwat.

“Kerani yang bertugas akan memakai sarung tangan untuk memeriksa jari pengundi sebelum mereka dibenarkan mencelup jari ke dalam botol dakwat pilihan raya dan langkah ini kita lakukan memandangkan pada masa sekarang sudah ada sarung jari tiruan.

“Dalam masa sama ia juga untuk memperkemaskan lagi prosedur dalam proses pengundian bagi mengelakkan sebarang penipuan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas menyampaikan taklimat sempena Si­ri Jelajah Taklimat PRU14 di Auditorium RTM di sini hari ini.

Lebih 60 pengamal media Pahang mengikuti taklimat itu yang bermula dari 9 pagi hingga 1 tengah hari yang turut disampaikan Penolong Pengarah Pendidikan Pengundi Akademi tersebut, Abdul Fatah Mohd. Pilus. - Bernama