Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata hubungan Proton dengan UEM Edgenta yang bermula lama sejak 2002, setakat ini telah menyaksikan pembelian sejumlah  236 unit kereta Proton menerusi program jualan korporat termasuk tambahan 30 unit Persona dan dua unit Perdana baru-baru ini.

"Saya yakin kepercayaan itu ada kerana mereka yakinkan aspek kemampuan, kebolehpercayaan dan ketahanan kereta Proton yang telah mereka alami sendiri sejak bertahun lamanya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif  UEM Edgenta, Datuk Azmir Merican berkata, Edgenta Propel memanfaatkan program bagi menggantikan kereta sedia ada berusia lebih 10 tahun untuk mencapai aspek kecekapan operasi dan keselamatan maksimum.

"Komitmen kami terhadap kecekapan operasi itu akan diteruskan dan program memperbaharui kekuatan dari segi pengangkutan itu akan diperluaskan untuk meliputi lori dan trak pikap sebelum akhir tahun ini," katanya.

Edgenta Propel memiliki 25 tahun pengalaman dalam industri pengurusan penyelenggaraan infrastruktur  dan ketika ini mengendalikan, menyelenggara serta memantau lebih 2,500 kilometer lebuh raya, jalan raya negeri dan ladang-ladang di Malaysia. - Bernama