Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Yasonna H Laoly berkata, kaedah yang diaplikasikan oleh SSM sangat efisien dan mengambil masa yang singkat dan boleh dijadikan panduan oleh Indonesia.

"Kerajaan Indonesia di bawah pimpinan Presiden, Joko Widodo (Jokowi) sedang berusaha untuk memperbaiki kecekapan dari segi pendaftaran perusahaan dan syarikat bagi meningkatkan pelaburan di negara tersebut termasuk dari negara luar.

"Ia juga selaras dengan matlamat Jokowi untuk meningkatkan kedudukan Indonesia daripada kedudukan ke-71 kepada 41 dalam senarai 190 negara dunia yang paling mudah menjalankan aktiviti perniagaan antarabangsa menerusi Laporan Menjalankan Perniagaan (DB) Bank Dunia 2018," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail di sini hari ini.

Yasonna mengadakan pertemuan dengan Saifuddin bagi berkongsi matlumat dan pandangan antara kedua-dua buah negara bagi meneruskan hubungan kerajaan dengan kerajaan (G2G) dan hubungan serantau.

Menurut Yasonna, hubungan dengan Malaysia adalah sangat baik dan perlu dipelihara, malah kita juga mahu mempelajari dari Malaysia yang berjaya mencapai kedudukan ke-24 menerusi DB Bank Dunia 2018.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, pertemuan itu membolehkan kedua-dua negara bertukar-tukar pandangan dan melihat potensi kepakaran khususnya dalam menambahbaik sistem penyampaian berkaitan urusan pendaftaran perniagaan yang tersusun dan lebih kondusif.

"Indonesia mempunyai kepakaran tertentu yang boleh kita pelajari dan kita optimis pertemuan ini merupakan permulaan dan akan menjadi kesinambungan bagi kedua-dua negara," katanya.

Jelas beliau, Indonesia yang menjalankan urusan pendaftaran syarikat secara manual sebelum ini telah mengaplikasikan kaedah SSM dan menyediakan pendaftaran secara atas talian sepenuhnya.

"Sebelum ini proses pendaftaran syarikat di Indonesia sangat terbatas dan mengambil masa berbulan-bulan, namun dengan pengenalan Online Single Submission (OSS) yang baru dilancarkan maka proses pendaftaran syarikat di Indonesia hanya mengambil masa tujuh minit sahaja," katanya. - K! ONLINE