Dalam satu kenyataan akhbar hari ini, Prolintas menegaskan, pihaknya juga akan mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor atau mana-mana pihak yang melakukan salah laku sehingga melanggar peraturan atau gagal mematuhi prosedur ditetapkan pihak berkuasa negara.

Katanya, Prolintas turut memandang serius laporan akhbar mengenai tindakan kontraktor projek tersebut yang membuat sambungan haram bagi mendapatkan sumber air.

“Pihak kami tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan mencuri air bagi ke­gunaan kontraktor pembinaan seperti dilaporkan Kosmo! semalam.

“Prolintas selaku pemilik projek ini akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) bagi memastikan siasatan yang adil dan telus dapat dijalankan,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan, SPAN bersama Air Sela­ngor melakukan serbuan dalam projek SUKE berhampiran Jalan Kolam Lama di sini yang didakwa mencuri air de­ngan me­lakukan sambu­ngan paip secara haram sejak lebih setahun lalu.

Tindakan itu melibatkan melibatkan kerugian bernilai RM348,000 atau bersamaan 153,015 meter padu air yang disambung menggunakan paip getah berukuran 32 mili­meter.

Orang ramai yang mempu­nyai aduan mengenai kes itu boleh menghubungi hotline 1300889922 atau di Facebook @PROLINTAS Highways atau Twitter @mySUKEofficial atau menghantar maklumat ke e-mel [email protected] - K! ONLINE