Katanya, bagi memastikan kesejahteraan, keselamatan dan taraf hidup rakyat dipelihara, terutama di kawasan luar bandar, ada projek pembangunan yang akan diteruskan.

"Antaranya, seperti pembinaan jalan raya, jambatan, bekalan air, elektrik, keselamatan dan kesihatan, sekolah serta rumah ibadah.

"Sementara projek yang ditangguhkan dan dibatalkan adalah projek mega kerana kemudahan sedia ada masih dapat memenuhi keperluan rakyat... jadi kita rasa perlunya senarai keutamaan," katanya sewaktu menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) tahun 2018 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) tahun 2018, di Parlimen, hari ini.

Sebelum ini dilaporkan bahawa, kerajaan berhasrat membatalkan projek infrastruktur disokong negara China bernilai berbilion ringgit yang dimeterai kerajaan terdahulu dalam usaha kerajaan membebaskan negara daripada hutang.

Pada penggulungan itu, Mohamed Azmin turut berkata, terdapat peruntukkan sebanyak RM31.5 juta kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang bakal digunakan untuk tujuan membina dan menaik taraf bangunan serta cadangan lain.

"Kita ada 317 tanah rancangan FELDA di seluruh negara termasuk sekolah agama dan dewan orang ramai. Dengan menggunakan peruntukan yang sama, kita akan gunakan untuk memasang lampu di kawasan FELDA," katanya.

Beliau sebelum ini pernah berkata bahawa, di bawah kerajaan Pakatan Harapan, kementeriannya komited untuk memulihkan FELDA secepat mungkin demi kesejahteraan peneroka selaras matlamat Akta Kemajuan Tanah 1956. - Bernama