Ketua Projek, Prof. Dr. Mohd. Effendy Abd. Wahid berkata, program itu bukan sahaja menjadi platform perkongsian ilmu berkaitan konservasi kuda laut kepada komuniti setempat malahan memberi manfaat dalam bentuk menjana pendapatan bulanan. 

“Dalam majlis itu, UMT menyerahkan insentif bernilai RM500, anak kuda laut daripada spesies ‘hippocampus trimaculatus’ berserta peralatan lengkap untuk penternakan kepada 40 penerima. 

“Kesemua peserta projek telah berjaya mengikuti kursus asas penternakan termasuk kelas teori dan teknikal selama enam bulan sebelum kita serahkan sepuluh ekor anak kuda laut sebagai fasa percubaan,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Penyerahan Kuda Laut dan Insentif Komuniti Projek Translasional UMT-KPT di Tapak Projek Komuniti Kuda Laut, Kampung Air Tawar di sini hari ini. 

Menurut Mohd. Effendy, penyerahan itu membabitkan 20 peserta dari Kampung Air Tawar dan sepuluh peserta dari Kampung Pak Kiang, Besut manakala selebihnya dari Kampung Gong Batu, Setiu. 

Sementara itu, menurut salah seorang peserta yang juga seorang ibu tunggal, Hasnah Awang, 56, selain dapat menimba ilmu dan mengisi masa lapang, projek tersebut juga mampu menambah pendapatan bulanannya. 

“Setiap peserta diberikan insentif sebanyak RM500 sepanjang berkursus selama enam bulan dan hari ini kami sudah bersedia menerima sepuluh ekor anak kuda laut untuk diternak sebagai fasa percubaan,” katanya. - K! ONLINE