Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata, kajian oleh jawatankuasa khas menunjukkan terdapat beberapa projek yang diragui, namun ada projek berkenaan yang masih boleh diteruskan kerana tidak bermasalah.

Katanya, bagi projek yang memerlukan rundingan, pihaknya akan berjumpa dengan pihak pemaju untuk membuat perbincangan.

"Hasil daripada kajian dalam beberapa pertemuan dengan pihak jawatankuasa khas untuk menyiasat 97 projek tersebut, terdapat projek yang boleh diteruskan, tetapi ada juga projek-projek yang masih boleh dirunding dan juga projek yang memerlukan siasatan yang terperinci," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel di sini.

Khalid berkata, syor kajian itu akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada mesyuarat Kabinet hari ini.

"Jika beliau (Mahathir) bersetuju dengan syor yang kita majukan, kita akan teruskan perlaksanaan ini," katanya. – Bernama