Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pembangunan), Isahak Murat memberitahu Bernama hari ini syarikat berkenaan akan mengambil alih projek itu melibatkan peruntukan bernilai kira-kira RM14.1 juta.

Katanya, projek berkenaan akan meliputi pakej-pakej pembangunan boardwalk (kemudahan untuk berjalan kaki tepi pantai), Park N Ride (kemudahan parkir), Chenang Bazaar (Pekan Chenang), Chenang Square (kawasan dataran awam) dan Chenang Walk (kemudahan untuk pejalan kaki di Jalan Chenang).

"Di bawah kontrak baharu ini, Pembinaan Sintok Sdn. Bhd. akan memulakan kerja pada 24 Mac (Sabtu) dan akan siap semuanya menjelang 24 Ogos tahun ini," katanya selepas menghadiri majlis dialog bersama kumpulan pengusaha pelancongan di sini.

Anggota Dewan Undangan Negeri Kuah, Nor Saidi Nanyan, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi, Datuk Azizan Noordin dan Pegawai Daerah Langkawi, Muhamad Arof Darus turut hadir di majlis itu. - Bernama