Pengurus Kanan Unit Projek Perladangan dan Bekalan Wilayah Pantai Timur, Mat Sehak Salleh berkata, seramai 11 pesawah dari Bukit Kenak, Terengganu dan empat pesawah dari Pasir Puteh, Kelantan menyertai kontrak perladangan berkenaan. 

"Bantuan yang diberikan dalam projek itu ialah seperti  baja, benih, racun, khidmat nasihat dan kursus," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kilang Beras Bernas, Bukit Kenak, di sini.

 Beliau berkata, pemilihan  pesawah bagi projek tersebut adalah berdasarkan beberapa kriteria seperti hasil penanaman padi yang statik dan pesawah tidak terlibat dengan mana-mana agensi.

Semasa ditanya  mengenai mengapa pesawah dari Kelantan dan Terengganu dipilih  untuk projek kontrak perladangan itu, beliau berkata, kedua-dua negeri itu berpotensi  menghasilkan keluaran padi mengikut standard keperluan industri padi dan beras negara.

Projek perladangan itu melibatkan 15 hektar kawasan penanaman padi di Bukit Kenak manakala lapan hektar di Pasir Puteh.

Projek itu bermula pada Januari 2017 dan akan diperluas ke negeri-negeri lain pada masa akan datang. - Bernama