Timbalan Pengarah Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia Zurina Abd Samad berkata pantai timur menawarkan banyak produk pelancongan yang menarik terutama keindahan pantai, keunikan budaya dan hasil kraftangan yang berpotensi.

"Projek ECRL yang berfungsi memendekkan perjalanan dari ibu negara akan menyemarakkan lagi kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara ke pantai timur," katanya kepada pemberita pada Pertandingan Memancing 'Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2019, A Journey To Visit Malaysia 2020 di Pantai Bisikan Bayu di sini, hari ini.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan projek ECRL akan disambung semula pada kos lebih rendah susulan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) di antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Menurut kenyataan itu, kos pembinaan Fasa 1 dan 2  ECRL kini dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion. - Bernama