Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, bagi peringkat permulaan, projek yang menelan belanja sebanyak RM21 juta itu dijangka memakan masa kira-kira 18 bulan untuk disiapkan.

"Kita jangkakan keseluruhan projek perumahan ini dapat dilihat hasilnya pada tahun 2020 diikuti dengan pembangunan di kawasan sekitar termasuk pembinaan jeti nelayan.

"Apa yang penting, bagaimana kita mahu membantu dari segi kelangsungan hidup para nelayan ini. Jadi kita turut memberi perhatian terhadap anak-anak serta ahli keluarga mereka iaitu menyalurkan latihan pendidikan dan kemahiran," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Anugerah Cemerlang SPM 2017 'Empower' Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di sini hari ini.

Pada Mei tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan projek AKN yang bertujuan meningkatkan taraf hidup golongan nelayan di kawasan Seberang Takir, Kuala Nerus.

Najib berkata, program perintis yang pertama diperkenalkan di dunia itu mengambil model Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda). - K! ONLINE