Pengasas Pusat Latihan Bersepadu C5, N. Danish Suresh berkata, seramai 20 peserta daripada pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan UiTM Arau terlibat dalam program tersebut.

“Ia merupakan program yang bakal memberi nilai tambah ilmu kepada pelajar-pelajar peringkat ijazah sarjana muda terutama yang melibatkan mereka yang mengambil subjek Advanced Conditioning.

“Ia memberi pendedahan mengenai program pembangunan fizikal atlet dan menjurus kepada penambahbaikan pada masa akan datang. Program itu dikendalikan oleh jurulatih kecergasan bertauliah dalam bidang suaian fizikal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, pelajar yang menyertai program itu akan memiliki sijil yang diperakui dan menjadi nilai tambah apabila mereka mahu memohon pekerjaan apabila tamat pengajian kelak.

Menurut Danish Suresh, pihaknya berharap kerjasama itu akan diteruskan pada masa akan datang bagi mewujudkan impak kesedaran masyarakat untuk bersenam dan bersukan. - K! ONLINE