Ini dilakukan antaranya melalui penganjuran julung kali acara Street Attack di sekitar ibu negara hari ini di lokasi seperti pusat beli-belah di Bukit Bintang dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Antara aktiviti yang berlangsung ketika Street Attack itu ialah persembahan tarian zapin pertanian, gimik 'flashmob', edaran risalah bercetak dan nyanyian lagu tema MAHA 2018 berjudul 'Hang Pi MAHA'.

Pengarah Sekretariat MAHA, Azman Mohd Saat berkata, sambutan untuk MAHA daripada penggiat industri pertanian dan agromakanan tempatan sangat menggalakkan apabila 1,500 tapak gerai yang ditawarkan habis ditempah.

"Kita turut mendapat tajaan daripada rakan strategik yang kini berjumlah kira-kira 35 syarikat dan individu dengan nilai tajaan hampir RM5.5 juta," kata Azman ketika ditemui pemberita.

Menurutnya, turut dirancang program konvoi bermotosikal dari Puchong, Selangor  ke Perlis dalam usaha mempromosikan MAHA yang dijadualkan berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park Serdang dari 22 November hingga 2 Disember ini. - Bernama