Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, kerjasama berkenaan penting untuk mengajar anak-anak berbelanja secara berhemah serta membendung budaya pembaziran dalam perbelanjaan supaya mereka dapat menguruskan kewangan secara bijak apabila dewasa kelak.

Katanya, ini kerana majoriti rakyat di negara ini mempunyai tahap celik kewangan yang lemah dan tidak cekap dalam menguruskan kewangan dengan bijak.

“Berdasarkan pemerhatian saya, banyak lagi langkah yang perlu dilakukan untuk meningkatkan tahap celik kewangan bagi merealisasikan generasi celik kewangan ini dalam mencapai objektifnya.

"Kanak-kanak zaman ini mempunyai kuasa membeli yang besar, sama ada secara langsung atau tidak langsung selain terdedah kepada aspek-aspek komersial yang tinggi," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Dr. Mohd. Gazali Abas sempena Majlis Pelancaran Program Pro Du-It Peringkat Kebangsaan 2019 di Kompleks Perbadanan Putrajaya di sini hari ini.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Tambah Maszlee, beliau berharap dengan adanya program celik kewangan seumpama itu dapat melatih dan mendidik murid mengenai cara menguruskan perbelanjaan dan menabung dengan lebih sistematik.

“Selain itu ia juga dapat memupuk nilai-nilai murni melalui modul yang mudah diikuti. Terdapat juga elemen lain iaitu ‘kongsi’ yang menerapkan amalan bersedekah kepada setiap murid terbabit,” katanya.

Program Du-It yang merupakan inisiatif JCorp menerusi Yayasan Jcorp bakal memanfaatkan lebih 2,500 pelajar daripada 90 sekolah rendah di seluruh negara menerusi usaha berkenaan.

Diperkenalkan sejak tahun 2017, program yang mempunyai enam modul itu turut mendapat sokongan tajaan berjumlah RM550,000 sumbangan Maybank Islamic Berhad, Perbankan Global Kumpulan Maybank dan syarikat Kumpulan Jcorp. - K! ONLINE