Timbalan Menterinya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata pelaksanaan program itu dengan lebih kerap, adalah sebagai memenuhi permintaan pengguna di negara ini yang rata-rata memuji tindakan kerajaan dalam menangani masalah kos sara hidup.

"Kita sokong permintaan daripada pengguna supaya program ini dilaksanakan lebih kerap dan diperluaskan terutamanya di kawasan luar bandar.
"Di samping itu, program ini yang dilaksanakan sejak setahun lalu akan ditambah baik dengan lebih teratur dan di lokasi yang lebih strategik mengikut kemampuan kerajaan dari segi kewangan dan logistik," katanya.

Tajuddin yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan JBD dan Program Singgah Kempen Makan Buah-buahan Tempatan di Dataran Belia Changkat Lada di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tajuddin berkata hasil jualan peniaga kedai runcit tidak akan terjejas berikutan pelaksanaan Program JBD di seluruh negara kerana program itu hanya dilaksanakan sebulan sekali berbanding peniaga kedai runcit yang menjalankan operasi perniagaan setiap hari.

"Bagaimanapun, terdapat  segelintir peniaga kedai runcit yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sesuka hati. Oleh itu, kebaikan program JBD ini secara tidak langsung peniaga terpaksa akur untuk menurunkan harga barangan pada kadar yang berpatutan bagi mengelakkan barangan di premis perniagaan mereka tidak terjual," katanya.

Pelaksanaan JBD itu merupakan inisiatif kerajaan Persekutuan untuk membantu rakyat membeli barang keperluan pada harga yang lebih murah pada kadar lima hingga 20 peratus berbanding di pasaran.

JBD telah dilaksanakan di 718 outlet jualan pasar tani, 426 AgroBazar Kedai Rakyat, 110 AgroBazar Rakyat 1Malaysia, enam MyFarm Outlet serta program MyBest Buy di seluruh negara. - Bernama