Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak berkata, program Jimat Belanja Aidilfitri @ Pasar Tani itu menawarkan barangan segar yang biasa digunakan ketika sambutan Aidilfitri terutamanya pelbagai jenis daging dan kelapa.

"Turut dijual di program Jimat Belanja Aidilfitri ialah daun palas untuk membuat ketupat, lemang dan lain-lain lagi," katanya kepada pemberita selepas meninjau jualan di Pasar Tani Putrajaya di Presint 2 hari ini.

Tambah beliau, keperluan lain yang terdapat di program Jimat Belanja Aidilfitri ialah serai, lengkuas, daun kunyit dan gula merah.

Jelas Ahmad, FAMA komited untuk memastikan barangan keperluan di semua pasar tani dijual pada harga berpatutan, selain segar dan berkualiti. - Bernama