Ahli Lembaga Pengarah Agrobaazar Malaysia-Singapura (ABMS), Zainal Abidin Yang Razalli berkata, langkah tersebut sebagai mengikut trend masyarakat Singapura yang kini gemar membeli barang secara atas talian.

Katanya, ABMS telah membuat kerjasama dengan Aladdinstreet.com.sg sejak bulan lalu untuk menjual produk usahawan PKS tempatan yang berpotensi secara atas talian.

"Ketika ini, kita dalam proses mendaftarkan produk dan item yang akan dijual secara online di laman web terbabit.

"Buat permulaan, sebanyak 150 item akan dijual dalam talian tersebut membabitkan produk makanan, rempah ratus, sejuk beku dan banyak lagi barang akan ditambah dari masa ke semasa kelak," katanya selepas melawat Malaysia Fest 2018 di Dewan Expo Changi di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri Perak, Abdul Yunus Jamahri dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Selangor, Ir. Izham Hashim.

Menurut Zainal Abidin, pihaknya menjangkakan kesemua 150 produk PKS tersebut  boleh dibeli secara atas talian oleh pengguna Singapura pada bulan depan.

Dalam pada itu, jelas, pihaknya juga akan mengunakan ruang jualan ABMS di pasar raya BigBox Jurong di sini sebagai pusat pengedaran produk atas talian tersebut.

"Penghantaran akan dilakukan oleh pihak Aladdin selain penduduk Singapura boleh berkunjung ke BigBox untuk melihat produk yang mereka gemar dengan lebih dekat," ujarnya. - K! ONLINE