Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, SPR menyeru kepada semua calon serta parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tataetika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak-pihak berkuasa.

Jelasnya, perhatian khusus perlu diberikan kepada peruntukan di bawah Seksyen 24A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) mengenai larangan semasa hari penamaan calon.

“Seksyen itu memperuntukkan bahawa penggunaan alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan kenderaan, vesel tidak dibenarkan dan merupakan satu kesalahan.

“Orang ramai dan penyokong-penyokong parti dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azhar, jika ada pihak yang melanggar peruntukan seksyen tersebut, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sepatutnya.

Dalam pada itu, menurutnya, parti politik yang terlibat bertanggungjawab untuk mengawal penyokong masing-masing setiap masa untuk menjamin proses penamaan calon berjalan lancar dan dalam suasana yang selesa dan aman. 

Terdahulu, SPR menetapkan (PRK) Parlimen Sandakan pada 11 Mei dengan hari penamaan calon pada 27 April dan pengundian awal pada 7 Mei.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah pada 28 Mac lalu di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu, Wong memenangi kerusi Parlimen Sandakan dengan majoriti 10,098 undi selepas memperoleh 19,094 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Datuk Lim Ming Ho yang mendapat 8,996 undi. - K! ONLINE