Jelasnya, sejak hampir dua minggu berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, wanita muda berumur 30 tahun yang bertanding sebagai calon DAP itu sering mendapat sambutan hebat daripada rakyat di kawasan Parlimen berkenaan.

“Tarikh 11 Mei (hari mengundi PRK Sandakan) ini cukup penting bagi kita kerana ia akan menentukan siapa calon yang akan menang dan menjadi wakil rakyat di Sandakan.

“Saya sangat pasti semua rakyat di Sandakan akan menyokong Vivian Wong kerana saya nampak, setiap kali beliau berucap, sambutan daripada rakyat di sini cukup hebat,” katanya pada majlis ramah mesra pemimpin bersama rakyat di sini malam tadi.

Shafie berkata, kerajaan negeri memahami harapan Vivian untuk merancakkan pembangunan di Sandakan dengan memastikan peluang pekerjaan mencukupi untuk rakyat di sini.

“Kerajaan akan pastikan kita semua akan membangunkan Sabah kerana kita ada ‘resepi’ untuk pergi jauh dalam pembangunan ekonomi negeri.

“Kita ada minyak, kita ada pelancongan. Jadi kita akan pastikan, kalau ada orang hendak melabur di Sabah, mereka akan menyediakan peluang pekerjaan untuk rakyat di Sabah,” katanya sambil menyatakan harapan supaya rakyat kelahiran Sabah yang berada di luar negeri dapat kembali membangunkan Sabah.

Menurut Shafie, Sabah berupaya untuk lebih maju daripada negeri-negeri maju di Semenanjung. - Bernama