Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, SPR ingin mengingatkan bahawa sebarang aktiviti kempen seperti penjamuan makanan dan minuman serta pemberian hadiah, sama ada dalam bentuk barangan atau wang secara rasuah mempengaruhi pengundi untuk memberikan atau tidak memberikan undi merupakan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Perlu juga diingatkan bahawa apa-apa tindakan ataupun pernyataan yang mengganggu mana-mana pengundi daripada menjalankan hak pemilihannya secara bebas juga merupakan satu kesalahan di bawah akta yang sama," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azhar berkata, antara kesalahan yang menjadi perhatian ialah tindakan atau pernyataan yang bertujuan ataupun cenderung untuk mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati ataupun permusuhan antara kaum, dan yang mengancam dengan menggunakan kekerasan, keganasan ataupun halangan ke atas pengundi.

Menurutnya, kesalahan lain seperti tindakan atau pernyataan yang mengancam hendak mengenakan apa-apa bencana, kecacatan, kerosakan atau kerugian keduniaan ataupun kerohanian ke atas pengundi; dan yang mendorong mana-mana pengundi supaya mempercayai mana-mana individu akan menjadi seorang yang dimurkai Tuhan atau yang dicela kerohaniannya. - Bernama