Pusat pengundian itu ialah di Mes Pegawai Kanan Pasukan Polis Marin Sandakan membabitkan 170 pengundi, yang dibuka sehingga 2 petang, manakala proses pengundian di Rumah Kelab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan membabitkan 100 pengundi berlangsung sehingga 12 tengah hari.

Proses pengundian awal ini disaksikan oleh setiap ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya terdiri daripada wakil organisasi dan pertubuhan bukan kerajaan yang telah dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), di samping SPR menyiarkan proses pengundian secara langsung menerusi laman media sosial Facebook SPR.

Parlimen Sandakan mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanjong Papat dan Elopura dengan 40,131 jumlah pemilih berdaftar terdiri daripada 39,856 pengundi biasa, lima orang pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara dan selebihnya pengundi awal.

Daripada jumlah keseluruhan itu, 51 peratus merangkumi pengundi Cina dan 45 peratus pengundi bumiputera Islam, manakala selebihnya kaum lain. - Bernama