Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia dalam memastikan kelancaran dan keselamatan pada hari pengundian tersebut.

"Saya juga telah memberi arahan khusus kepada Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah dan Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Hamin mengenai perancangan pada hari pengundian.

"Setakat ini, jumlah anggota yang ditempatkan mencukupi namun atas isu keselamatan di selatan Filipina, saya telah mengarahkan jumlah dan kawalan anggota dipertingkatkan bagi memastikan kelancaran PRK parlimen Sandakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar pada Program Lawatan Hospital sempena Peringatan Hari Polis ke-212 di Hospital Selayang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, pihaknya juga tidak bercadang membawa anggota dari semenanjung bagi melakukan kawalan pada PRK Parlimen Sandakan atas pelbagai faktor.

"Antara faktor yang harus diambil kira ialah kos dimana kita memerlukan jumlah yang banyak untuk membawa anggota dari semenanjung ke Sandakan, Sabah.

"Saya juga yakin persediaan yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat melakukan pengawalan sepanjang hari pengundian tersebut," jelasnya. - K! ONLINE