Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, kad pengundi itu mengandungi maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran, bilangan, tarikh dan masa mengundi yang akan memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada hari mengundi awal iaitu pada 7 Mei dan hari mengundi biasa pada 11 Mei depan.

"Pengundi yang telah menerima kad pengundi tidak lagi perlu membuat semakan di Barung SPR untuk menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih kerana kedua-dua maklumat berkaitan telah dinyatakan dalam kad tersebut.

"SPR telah mengedarkan kad pengundi mulai 19 April lepas kepada semua pengundi bagi PRK Parlimen P.186 Sandakan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azhar juga berkata, SPR menegaskan bahawa pengundi masih perlu membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti untuk mengundi dan diingatkan supaya membawa kad pengundi atau catatan maklumat daftar pemilih pada hari mengundi bagi memudahkan semakan.

Katanya lagi, mana-mana pengundi yang tidak menerima kad pengundi berkenaan boleh membuat semakan maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran dan nombor bilangan di portal SPR www.spr.gov.my atau aplikasi MySPR Semak.

Beliau berkata, pengundi juga boleh menyemak melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) (SPR  SEMAK  NOMBOR KAD PENGENALAN) dan hantar ke nombor 15888 atau menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018. - Bernama