Pengarah SPR Pahang, Datuk Zamree Hamli berkata, wakil daripada Pakatan Harapan membeli satu set borang pencalonan, MyPPP dua set borang dan wakil daripada Barisan Nasional (BN) serta Bebas pula  masing-masing tiga set.

"Ini (sembilan set) yang telah dibeli setakat pukul 5.30 petang semalam. Mungkin ada pertambahan lagi pada hari ini. Calon juga masih boleh membeli borang sehingga pukul 10 pagi esok," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Mei tahun lepas, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Pada PRU-14, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan memperoleh 10,307 undi menewaskan M. Manogaran (PKR) yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS/3,587 undi); Mohd Tahir Kassim (Berjasa/81 undi) dan B. Suresh Kumar daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) dengan 680 undi. - Bernama